Monday, December 22, 2008

SIMPOSIUM PEKERJAAN ORANG KURANG UPAYA PADA 15 & 16 DISEMBER 2008 DI GRAND PACIFIC HOTEL KUALA LUMPUR

Pada 15 dan 16 Disember 2008 yang lalu telah diadakan satu Simposium Pekerjaan Orang Kurang Upaya di Grand Pacific Hotel Kuala Lumpur. Apa yang menarik perhatian saya di simposium ini ialah walaupun tiada pembesar ataupun pak menteri yang hadir sama ada bagi tujuan perasmian atau penutupannya, namun liputan pihak media elektronik dan media cetak telah membantu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kami golongan OKU Penglihatan juga inginkan perubahan untuk menjadikan hari-hari esok dan yang mendatang suatu yang lebih baik dari apa yang ada pada hari ini. Terima kasih kepada TV3 dan pihak media yang lainnya.

Sepertimana yang telah diketahui oleh ramai pembaca blog tentang cerita yang berlaku di simposium tersebut, saya tidak akan menceritakan tentang apa yang berlaku dan apa yang telah dicapai oleh simposium ini kerana semuanya masih di peringkat penyediaan deraf untuk dipanjangkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Apa yang menarik perhatian saya pada simposium ini ialah tentang peranan pihak SBM, salah satu pertubuhan orang cacat penglihatan di negara ini yang begitu komited merancang, merangka program dan melaksanakannya dengan jayanya demi membela nasib para ahlinya yang inginkan perubahan walaupun tahapnya tidaklah sepantas yang diinginkan. Terima kasih SBM dan kesemua AJK yang bertungkus lumus berusaha keras dan merealisasikan simposium ini dengan jayanya. sesuatu yang menjadi harapan saya ialah agar pihak SBM dalam usahanya ingin melihat perubahan di kalangan para ahlinya hendaknya tidak begitu keras dan mendesak dalam penyediaan deraf memorandum yang akan dihantar kepada Pihak-Pihak Berkuasa yang berkaitan dalam isu-isu yang telah dibangkitkan dalam simposium pekerjaan tersebut. Saya tidaklah bermaksud untuk mengajar itik berenang, cuma dalam kita memperjuangkan nasib kita harus ada suatu kesedaran bahawa kita golongan OKU penglihatan dan kategori OKU yang lain belum lagi tergolong dalam kumpulan penyumbang kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Berlembut dan berdiplomasi dalam penyampaian hasrat kita kepada Pihak-pihak Berkuasa mudah-mudahan akan membuahkan sesuatu yang positif yang akhirnya pada satu hari kelak kita juga akan menjadi golongan yang menyumbang bukan sahaja buah fikiran malah akan menjadi satu golongan penjana ekonomi kepada negara yang tercinta ini.

Akhirnya saya ingin mengingatkan diri saya dan kawan-kawan yang sentiasa menantikan sesuatu perubahan dalam perjalanan kehidupan ini agar tidak akan mudah berputus asa memperjuangkan nasib kita walaupun sedar akan terlalu sukar dan banyaknya cabaran dan halangan di hadapan kita. Mungkin pada hari ini kita belum lagi mencapai apa yang kita inginkan tapi siapa tahu dengan adanya perubahan sikap dan minda masyarakat akan memberikan suatu sinar baru kepada kita dalam mengharungi cabaran untuk kita terus bergerak ke hadapan dalam memajukan diri untuk kehidupan di dunia pinjam pinjaman ini.

Terima kasih.
KEHILANGAN ADA KALANYA LEBIH BAIK DARI TERSEKSA BERTERUSAN