Thursday, August 16, 2007

Dilema Penjual Tisu OKU Penglihatan

Dalam masa kita rancak menghias kota dan desa serta bangunan dan rumah kediaman dengan kibaran bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke 50 negara Malaysia yang tercinta ini, ramai pula yang cuba tercari-cari idea untuk di ketengahkan bertujuan untuk membersihkan kota raya dan Negara kita supaya menjaga pandangan-pandangan para pengunjung di Negara kita yang berbelanja tidak seberapa dengan tidak langsung mengambilkira nasib penduduk setempat khususnya golongan Orang Kurang Upaya. Ini termasuklah dengan membuat tangkapan demi tankapan atas nama operasi sesebuah agensi kononnya untuk membersihkan kota raya ini dari pemandangan yang boleh menjejaskan imej Negara walaupun aktiviti-aktiviti yang dijalankan jelas untuk mencari sesuap nasi dan bukannya melakukan hal-hal yang menyalahi undang-undang. Golongan yang lazimnya menjadi mangsa adalah terdiri dari golongan Orang Kurang Upaya Penglihatan yang menjual tisu di tempat-tempat awam dengan alas an aktiviti golongan ini akan menjejaskan pemandangan indah dan imej Negara ini. Maka ramailah petugas-petugas di beberapa agensi ini mendapat habuan dengan membuat tuntutan kerja-kerja lebih masa dengan barang bukti mereka yang terdiri dari golongan OKU Penglihatan yang menjual tisu ini sedangkan ramai lagi di luar sana yang menjual VCD cetak rompak, DVD haram masih rancak mengaut untung hasil lelah orang lain dibiarkan terus beroperasi.

Di manakah perginya pemimpin-pemimpin pertubuhan-pertubuhan yang kononnya membela nasib golongan OKU Penglihatan ini? Saya amat bersetuju dengan pandangan beberapa individu yang menyuarakan rasa terkilannya terhadap sikap para pemimpin badan-badan yang mewakili kita golongan OKU Penglihatan yang membatukan diri terhadap isu penjual tisu ini. Sepatutnya inilah masa yang paling sesuai untuk mereka menunjukkan sikap kepimpinan mereka terhadap nasib golongan kita yang menjual tisu ini. Kalaupun benar ada akta itu dan akta ini dan meminta rakan-rakan kita memberhentikan aktiviti menjual tisu ini, apakah ada alternatif lain yang boleh dicadangkan oleh pihak-pihak berkuasa untuk membolehkan rakan-rakan kita ini memperolehi pendapatan lain bagi membolehkan mereka terus dapat menyara diri dan keluarga? ini yang seharusnya disuarakan oleh para pemimpin dari MAB, SBM atau NCBM yang patut disalurkan kepada Pihak-pihak Berkuasa untuk mendapat sedikit ehsan mereka terhadap golongan penjual tisu ini. Buat apalah kita mempunyai banyak pertubuhan kalau hanya ingin menjaja nama orang kurang upaya penglihatan untuk mendapatkan simpati masyarakat menyalurkan sumbangan tetapi akhirnya sumbangan itu digunakan untuk membesarkan temolok sendiri sahaja. Ya saya tahu memang ada aktiviti-aktiviti yang bercorak konvensional yang masih dijalankan oleh badan-badan yang mewakili OKU penglihatan ini sejak dulu hinggalah sekarang tetapi tak kan lah soal nasib rakan-rakan kita yang menjual tisu untuk mencari nafkah tidak langsung diberi perhatian oleh pertubuhan-pertubuhan kita yang sedia ada sebagai suatu tindakan ke arah membela ahli-ahli yang di dalam kepayahan sebagai tanggungjawab social pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada? Apakah megah sangat menjadi pemimpin kepada pertubuhan orang kurang upaya penglihatan hinggakan terus terlena dan kalau ada tindakan pun ianya dilihat seperti melepas batuk ditangga sahaja?

Mengenai dakwaan kononnya ada dalang yang mengambil kesempatan di sebalik golongan yang menjual tisu ini, pada saya ini adalah merupakan satu tektik basi dan lapuk yang biasa digunakan untuk menutup tindakan mereka dari mendapat reaksi negatif dari anggota masyarakat yang bersimpati dengan keadaan yang berlaku sekarang di kalangan OKU penglihatan. Jadi senjata "dalang di sebalik sesuatu aktiviti ini" akan digunakan dan dengan tidak secara langsung mereka bolehlah menjalankan aktiviti menangkap penjual-penjual tisu ini di waktu malam sebagai bukti yang petugas-petugas ini menjalankan tugas untuk membuat tuntutan kerja lebih masa. Saya secara peribadi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Harian Metro yang telah mengambil inisiatif mengeluarkan rintihan golongan penjual tisu ini dalam ruangan setempat dengan mengenepikan soal-soal komersial sebagai tanggungjawab social mereka. Apakah kurang orang yang perlu ditangkap di Kuala Lumpur ini untuk membersihkan nama dan keadaan Kota Raya yang bertuah ini? Ramai kutu rayau dan penagih dadah bersidai di sana sini yang bagaikan mengancam keselamatan kita serta pendatang haram yang melakukan pelbagai aktiviti keji kenapa tidak ditangkap? apakah kerana golongan OKU Penglihatan ini tidak boleh berbuat apa-apa sebagai tindakbalas memudahkan mereka menjalankan tugas kononnya? Bukanlah niat saya memperkecil-kecilkan tugasan golongan dari Agensi Kerajaan ini tetapi tidakkah mereka boleh berfikir yang penjual tisu ini juga serupa dengan agen-agen yang lazimnya datang ke pejabat kita mencari kontrak dan menjual itu dan ini dengan mempromosikan barangan mereka ini dari satu pejabat ke satu pejabat? Janganlah hendaknya bila kita disajikan dengan reski yang berlimpah ruah maka kita terlupa yang tuhan sedang menguji kita sebagai hambaNya untuk berkongsi sedikit reski yang kita perolehi dengan orang lain? apakah susah sangat apabila dikunjungi oleh para penjual tisu ini dengan hanya berkata "terima kasihlah lain kali saja"? Janganlah hendaknya dalam kita ghairah menghias Negara kita untuk sambutan kemerdekaan Negara kita yang ke 50 tahun ini di kacamata pengunjung luar menjadikan rakyat sendiri seperti “kera di hutan disusukan anak di rumah mati tak makan”.

Kalaulah golongan OKU Penglihatan ini diberi gerai sekalipun, apakah jenis perniagaan yang boleh dilakukan? berlainan halnya dengan kategori OKU anggota mereka masih boleh menjalankan perniagaan seperti menjual barangan makanan ringan di hentian bas dan di tempat-tempat awam tetapi apakah sesuai bagi OKU penglihatan untuk menjalankan kerja-kerja seumpama ini? apa yang dikhuatiri ialah barangannya habis tetapi modalnya tak dapat sebab habis dikebas penyangak yang tak bertimbangrasa. Saya suka mencadangkan bahawa untuk jalan jangka pendek, jika benar-benar ada pihak-pihak yang benar-benar ingin membantu, berikan beberapa peratus gerai atau lot-lot perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis-majlis Tempatan Kerajaan atau Pihak Berkuasa Bandaran di peringkat Negeri atau Persekutuan untuk orang awam kepada golongan OKU penglihatan ini dan seterusnya biarkan peruntukan gerai dan lot perniagaan ini sama ada disewakan semula oleh golongan OKU penglihatan ini sebagai sumber pendapatan atau mereka pun boleh bekerja dengan para penyewa ini jika lokasi yang diberi kepada mereka merupakan lokasi yang strategik. Ini bukan sahaja dapat membantu golongan OKU penglihatan yang kian hari kian ramai menyandang gelaran penganggur ia juga akan dapat membantu pihak berkuasa untuk mengurangkan peratusan penganggur di kalangan OKU penglihatan.

Saya memohon maaf seandainya saya yang tersentuh bagaikan paha kanan yang dicubit paha kiri yang terasa ini menyinggung mana-mana pihak tetapi percayalah kami golongan OKU Penglihatan bukanlah golongan yang suka sangat meminta minta tetapi demi "survival" suka atau tidak kami terpaksa lakukan demi kesinambungan dan kelangsungan kehidupan di muka bumi milik Allah ini jua. Berikan cadangan yang membina insyaallah kami akan sentiasa berterima kasih kerananya sekiranya ianya benar-benar dilakukan atas nama kemanusiaan bukan terus menghambakan sesama kita. Biarlah kita menjadi hamba tetapi hamba yang merdeka di bumi bertuah yang sama-sama kita kasihi dan cintai ini.


Sebelum saya akhiri nikilan sayu ini, izinkan saya merakamkan apa yang terdetik di hati saya:-

Inilah nasib kaum ninoriti yang tak berdaya
sentiasa diperhambat ikut suka mereka
Lapar kenyang kita bukan masalah mereka
kita yang dalam kepayahan bagaikan meminta hak mereka

Bagaikan jahiliah memerintah negara
tiada lagi timbangrasa sesama manusia
untuk mendapat sesuap nasi mengalas perut cuma.
di dalam kandang besi sebagai ganjarannya

Apalah malang anak yang masih menyusu
merintih menangis menanti si ibu
Laungan si anak tak siapa yang ambil tahu
apa yang mereka peduli itu bukan anak aku

Nampaknya kita bagaikan serumpun dan serjiran
membilang tahun kemerdekaan dengan kepayahan
apakah tiada lagi kepercayaan kepada Tuhan
mereka yang lemah dan tak berdaya sering diabaikan

Senyum di wajah rupanya derita yang diterjemah
Ada rakan bagaikan sokong membawa rebah
apakah kita lebih teruk dari penagih dadah
dalam kandang besi kita mendapat padah

Agaknya kita masih kecil bilangannya
belum ada rakan di kalangan pemimpin negara yang buta
baru agaknya nasib kita akan terbela
baru ngauman suara kita hinga ke pelusuk nusantara

Biarlah saya yang kerdil ini memanjatkan doa
agar nasib rakan-rakan akhirnya akan terbela
negara sendiri kita sayang dan cinta
semoga kita dihindarkan segala bala bahaya

Terima kasih

Sila hubungi saya di skype matnoy atau abang_andak

Tuhan! Hadiahkanlah kasihmu kepadaku
Tuhan! Kurniakanlah rinduku kepadamu
Moga ku tahu syukur pun adalah milikmu

` Yaa Allah! Aku memohon cintamu dan cinta orang yang menyintaimu dan semua
amalan yang akan mendekatkan aku dengan cintamu '

Bila kita mencintai yang lain,Mungkinkah hati ini akan tegar Sebisa
mungkin tak akan pernah sayangku akan hilang.... padamu Yaa-ALLAH
Rabbul Jalil.

Monday, August 13, 2007

Legal Issue on Contract Law in Malaysia - Good for us to know

Do you notice that most of the time, the receipt / invoice you received from the merchant carries this exclusion clause or similarly worded statement:
"Goods sold are not returnable" or "No refund once sold".

Please remember that : " As long as your goods is purchased for home use and not for business ( i.e. to be resold), the above exclusion clause is VOID.

That means, as long as the good is defective, regardless of what is worded, you CAN get back all your money spent . You do not have to accept a repair on the good or an exchange. You CAN ask for a refund. AND you are LEGALLY right and entitled to!

And most of the time the merchant will refuse to return you your money.

You can threaten the merchant with four words: "SEE YOU IN COURT!"

The court here refers to the Small Claims Tribunal Court . Any goods which is worth RM25,000 and below can apply to this Court.

However, you don't have to tell them what court! All you have to pay is RM10 admin fee and the loser (the merchant) will have to refund you the money PLUS the admin fee!

I have seen that most educated people are cowed by such unfair wordings (which includes a few of my friends).

Pls try not to let the merchant fleece you the next time you have defective goods.

You can file this On the 16th floor of Putra Place (The Mall opposite Putra World Trade Centre) . The form cost RM5.00. The Tribunal will settle within 2 months period.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ,
Tingkat 16, Putra Place ,
100, Jalan Putra,
50622 KUALA LUMPUR
Tel: 03 - 40492300 / 40424181 Fax: 03 - 40424259

Berdebatlah mengenai fakta-fakta sejarah secara terbuka!

Artikal di bawah ini telah dipetik dari salah satu kumpulan perbincangan untuk tatapan para pengunjung blog ini. Semoga ada manfaatnya.


Berdebatlah mengenai fakta-fakta sejarah secara terbuka!


Ilmu sentiasa berkembang melalui perdebatan yang memakan tahunan masa. Salah satu disiplin ilmu yang mendasari segala ilmu adalah sejarah. Oleh itu, fakta-fakta sejarah masih ada ruang untuk diperdebatkan agar ilmu sentiasa berkembang. Ia akan sentiasa dicabar oleh para cendekiawan, para pemikir muda atau para 'mujaddid' dalam pembaharuan masyarakat kita. Misalnya, fakta kedatangan Islam di Malaysia yang dipercayai pada mulanya berasal dari India dan lainnya, akhirnya disangkal Buya Hamka dan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Alasannya, mazhab fekah as-Shafie yang diamalkan oleh masyarakat Melayu menunjukkan bahawa Islam di rantau ini dikembangkan oleh para muballigh Arab (Jeddah dan Hadramaut). Sedangkan, amalan feqah di India dan lainnya bukan bermazhab Syafie.

Demikian juga penelitian al-Attas ke atas Batu Bersurat Terengganu yang membuktikan tarikh yang tepat mengenai kedatangan Islam di Tanah Melayu. Kajian rasional, saintifik dan konkrit itu tidak mudah disangkal oleh generasi selepasnya. Ringkasnya, penjelajahan ilmu di lautan fakta amat mengasyikkan dan mengghairahkan minda generasi muda.

Tiada apa yang perlu ditakutkan. Apatah lagi dengan kedewasaan usia negara mencecah 50 tahun merdeka, generasi muda kini dan masa depan sudah tentu perlu disedarkan mengenai hakikat sebenar mengenai asal-usul perkembangan konsep 'kontrak sosial', 'ketuanan Melayu, dan lain-lain. Insan yang takut berdebat mengenai fakta sejarah tidak sepatutnya memimpin sesebuah organisasi. Apatah lagi organisasi yang besar. Ini kerana, pemimpin perlu menghadam sirah dan mengunyah fakta-fakta peristiwa untuk diambil iktibar agar hal buruk yang lalu tidak diulangi. Pemimpin yang buta sejarah amat mudah terjebak dalam kesilapan yang sama. Ini sudah tentu merugikan agama dan bangsa. Al-Qur'an contohnya mengisahkan pelbagai ragam insan di sepanjang peradaban.

Boleh dikatakan rakaman peristiwa perjuangan Nabi dan beberapa siri penentangan antara kebenaran dan kepalsuan itu akan berulang-ulang sehingga kini. Kisah pembunuhan pertama melibatkan Habil dan Qabil dinisbahkan kepada jenayah pembunuhan kini. Kisah Nabi Daud a.s yang masih kecil saat membunuh Jalut dengan batu dinisbahkan kepada ulangan kisah kanak-kanak Palestin yang berjuang dengan batu kerikil melawan juak-juak Israel kini. Sejarah ini adalah ulangan peristiwa lalu tetapi dilakonkan oleh watak lain dan mungkin dengan sedikit pertukaran watak.

Demikian nasihat Buya Hamka. Itu baru cerita falsafah sejarah. Ketepikan cerita falsafah. Pertamanya, bersediakah umat menelan semua fakta walaupun pahit? Jika bersabar, ia tetap manis untuk dikenang.

Kedua, menurut al-Attas, budaya ilmu hanya tercetus apabila setiap anggota masyarakat itu mempunyai sikap 'berani menyoal'. Yang lebih mencabar, siapa pula orang yang 'berani menjawab' tanpa emosi melainkan rasional semata-mata? Islam Hadhari amat mengagungkan penguasaan ilmu. Ilmu terbina melalui siri perdebatan secara terbuka 'free-market of ideas'. Tepuklah dada tanyalah keikhlasan jiwa. Tidak semua perkataan 'musuh' itu palsu. Tidak semua nasihat 'kawan' itu benar. Sebabnya, dalam banyak sokongan, falsafah Melayu selalu mengasah ingatan; berhati-hatilah kerana ada 'sokong bawa rebah' seperti ampuan, bodekan dan lain-lain. Oleh itu, Kalau 'musuh' mempertikai siapa pejuang merdeka, rasanya betul juga. Kerana para pejuang merdeka bukan seorang dua. Yang menentang Portugis, Belanda, Jepun, Siam dan lain-lainnya mustahil ditangani oleh seorang sahaja melainkan dengan angkatan besar pejuang Melayu terdahulu. Umpama sirah perjuangan para anbiya memerangi kekufuran sehingga kemerdekaan 'aqidah mengatasi syirik. Ia bermula dari zaman Nabi Adam. Kemudian, Nabi Ibrahim yang berulang-ulang memperjuang aqidah tauhid -millah hanif yang bukan syirik sehinggalah kepada Nabi Muhammad yang dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak sebagai pelengkap kepada Insan Kamil. Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul terakhir tidak menafikan jasa, sumbangan dan perjuangan para Rasul sebelumnya melalui ikatan sabdanya.

Syahadan, jika tiada saranan tarikh 31 Ogos daripada ulama seperti Haji Abdullah Fahim kepada Almarhum Tunku, masakan kita merdeka? Di mana fakta-fakta mengenai perjuangan ulama' menjelang merdeka seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Abu Bakar al-Baqir, Hassan Adli dengan ketuanan Melayunya dan lain-lain? Hal ini tidak boleh didiamkan daripada generasi muda hadhari di era Islam Hadhari. Rumah tidak terbina hanya melalui tiang seri. Ada batu-bata dan lain-lain sistem sokongan yang utuh juga. Rumah merdeka telah pun siap dibina, namun paku-paku berkarat telah tertanggal kesemuanya dan pahat-pahat muda telah berbunyi. Serulah jurutera yang faqih sirah di pondok universiti untuk kembali membinanya semula. Apabila selesai, jangan pula diulang derita Taj Mahal; tangan arkiteknya ditanggalkan seusai pembinaannya. Hormatlah kepada cendekiawan universiti yang ingin membantu. Apabila bantuan ilmiah dihulur, mereka ini jangan 'dipinggirkan' dari suaka ilmu jika mereka terkasar sedikit dalam ucapan kata-kata. Marahnya seorang pendeta bangsa adalah nasihat untuk merawat keangkuhan untuk memimpin bangsa merdeka!


Ibnuamir al-Pendangi,
Sekolah Pemikiran Tunjungan,
Pasca-USM.

GARAP (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) adalah badan amanah pelajar Malaysia yang menjalankan penulisan berterusan untuk memasarkan idea pembangunan bagi usaha pembaharuan sosial. Untuk agenda ini, GARAP memerlukan sokongan moral & modal.Sumbangan dana boleh disalurkan ke Bank Islam; 2-011-02-029707-5

Sunday, August 12, 2007

Jika Aku Jatuh Cinta Lagi

Ya Allah, jika aku jatuh cinta lagi, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu, agar bertambah kekuatan ku untuk mencintai-Mu.

Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta lagi, jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku pada-Mu.

Ya Allah, jika aku jatuh cinta lagi, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu, agar
tidak terjatuh aku dalam jurang cinta duniawi.

Ya Rabbana, jika aku jatuh cinta lagi, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada hati-Mu.

Ya Rabbul Izzati, jika aku jatuh cinta lagi, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu.

Ya Allah, jika aku jatuh cinta lagi, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu.

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu.

Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu.

Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu.

Ya Allah Engaku mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada-Mu, telah berjumpa pada ketaatan pada-Mu, telah bersatu dalam dakwah pada-MU, telah berpadu dalam membela syariat-Mu.

Kukuhkanlah Ya Allah ikatannya.
Kekalkanlah cintanya.
Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan Nur-Mu yang tiada pernah pudar.

Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu.

Bila kita mencintai yang lain,Mungkinkah, hati ini akan tegar Sebisa mungkin tak akan pernah sayangku akan hilang.... padamu Ya-ALLAH Rabbul Jalil.
Amin....!

Terima kasih kerana sudi membaca dan berkongsi

` Yaa Allah! aku memohon cintamu dan cinta orang
yang menyintaimu dan semua amalan yang akan
mendekatkan aku dengan cintamu '

Saturday, August 04, 2007

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

Marilah kita luangkan masa sejenak membaca artikal di bawah ini yang dipetik dari blog seseorang yang saya masih tak tau siapa pemiliknya. Saya berharap agar pemilik blog ini mengizinkan saya memaparkan kisah yang baik ini untuk renungan kita demi kesejahteraan bersama.

Terima kasih



Cinta Tidak Harus Berbentuk ‘Bunga’
February 8th, 2007

Aku mencintai suamiku kerana sifatnya yang semulajadi dan aku begitu menyukai perasaan hangat yang muncul di hati ketika bersandar di bahunya yang bidang. Tiga tahun dalam alam perkenalan, dan dua tahun dalam alam perkahwinan, harus aku akui bahawa aku mulai rasa bosan dan lelah dengan kehidupan berumahtangga dengannya dan alasan-alasan mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan.

Aku seorang wanita yang berjiwa sentimental dan benar2 sensitif serta berperasaan halus. Aku merindui saat-saat romantis seperti seorang anak yang menginginkanbelaian. Tetapi semua itu tidak lagi aku perolehi. Suamiku jauh berbeza dari apa yang aku harapkan dulu. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidak mampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah memusnahkan semua harapan tentang kehidupan cinta yang ideal.
Suatu hari, aku beranikan diri untuk menyatakan keputusan untuk bercerai.
“Mengapa?”, dia bertanya dengan terkejut.
“Aku lelah, kamu tidak pernah memberikan cinta yang aku inginkan”
Dia terdiam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak. Kekecewaan aku semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang dapat aku harapkan darinya? Dan akhirnya dia bertanya,

“Apa yang dapat aku lakukan untuk mengubah fikiranmu?”.
Aku menatap matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan,
“Aku ada satu pertanyaan, jika kau dapat menemui jawapannya, aku akan mengubah fikiranku:Seandainya, aku menyukai setangkai bunga indah yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika kau memanjat gunung itu, kau akan mati. Apakah kau akan melakukannya untukku?”

Dia termenung dan akhirnya berkata, “Aku akan memberikan jawapannya esok.”

Hatiku langsung gundah mendengar reaksinya. Keesokan paginya, suamiku tiada di rumah, dan aku menemui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebuah gelas yang berisi susu hangat yang bertulis…

“Sayang, aku tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan aku untuk menjelaskan alasannya.”

Kalimat pertama ini menghancurkan hatiku. Aku lantas terus membacanya.

“Sayang, kau biasa menggunakan komputer dan selalu menghadapi masalah kerosakan program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Aku harus memberikan jari-jariku supaya dapat membantumu dan memperbaiki programnya.”

“Kau selalu lupa membawa kunci rumah ketika keluar rumah, dan aku harus memberikan kakiku supaya dapat menendang pintu, dan membukakan pintu untukmu ketika pulang.”

“Kamu suka jalan2 ke luar kota tetapi selalu sesat di tempat-tempat baru kamu kunjungi, Aku harus menunggu di rumah agar dapat memberikan mataku untuk mengarahkan jalan untukmu.”

“Kamu selalu kelelahan pada waktu ‘teman baikmu’ datang setiap bulan, dan aku harus memberikan tanganku untuk memicit kakimu yang kebas.”

“Kamu seorang yang suka diam di rumah, dan aku selalu khuatir kamu akan menjadi ‘aneh’. Dan aku harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkanmu di rumah atau meminjamkan lidahku untuk menceritakan hal-hal lucu yang aku alami.”

“Kamu selalu menatap komputermu, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan matamu, aku harus menjaga mataku agar ketika kita tua nanti, aku masih dapat menolong memotong kukumu dan mencabuti ubanmu.”

“Tanganku akan memegang tanganmu, membimbingmu menyusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna2 bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu”.

“Tetapi sayangku, aku tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, aku tidak sanggup melihat air matamu mengalir menangisi kematianku.”

“Sayangku, aku tahu, di luar sana ada banyak orang yang mampu mencintaimu lebih dari aku mencintaimu.”

“Untuk itu sayangku, jika semua yang telah kuberikan dengan tanganku, kakiku, mataku, tidak cukup bagimu. Aku tidak dapat menahan dirimu mencari tangan,kaki, dan mata lain yang dapat membahagiakanmu.”

Air mataku jatuh di atas tulisannya dan membuat tulisannya menjadi kabur, tetapi aku tetap berusaha untuk membaca selanjutnya…

“Dan sekarang, sayangku, kamu telah selesai membaca jawapanku. Jika kau berpuas hati dengan semua jawaban ini, dan tetap menginginkanku untuk tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, aku sekarang sedang berdiri di luar pintu menunggu jawapanmu.”

“Jika kamu tidak puas, sayangku, biarkan aku masuk untuk mengambil barang-barangku, dan aku tidak akan menyusahkan hidupmu. Percayalah, kebahagiaanku adalah apabila kau bahagia.”.

Aku segera berlari membuka pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah keliru sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaanku.

Oh, kini baru aku tahu, tidak ada orang lain yang pernah mencintaiku lebih dari dia mencintaiku. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasakan pasangan kita tidak dapat memberikan cinta dalam bentuk yang kita inginkan, maka cinta itu sesungguhnya telah hadir dalam bentuk lain yang tidak pernah kita bayangkan sebelumnya. Seringkali yang kita perlukan adalah memahami bentuk cinta dari pasangan kita, dan bukan mengharapkan bentuk tertentu kerana cinta tidak selalu harus berbentuk“bunga”. :) (f)

Semoga dalam kita mencari erti cinta tidak akan menyesatkan kita dengan warna-warna kehidupan di sekeliling kita kerana yang indah itu hanya pada kita dan menjadi milik kita.

Sekian dan terima kasih kerana membaca dan mendapat manfaat darinya.

Friday, August 03, 2007

Merdeka Merdeka Merdeka

Dalam kita menghitung jumlah tahun kemerdekaan yang dicapai oleh negara kita tercinta ini, apakah kita masih terus ke belakang dalam mencari pengertian kemerdekaan itu sendiri? Kita sering disajikan dengan pelbagai artikal tentang rungutan dan kritikan terhadap pemerintah menjelang pilihan raya tapi apakah kita sadar betapa sukarnya sesuatu pemerintah untuk mentadbir sesebuah negara yang berbilang kaum dan fahaman? ya memang mudah kita bicarakan tentang ketidakpuasan hati kita dalam pelbagai hal tapi apakah kita ada jalan penyelesaiannya untuk kita hadiahkan kepada para pemimpin kita sebagai tanda terima kasih kepada usaha keras para pemerintah yang membolehkan kita menjalani kehidupan ini dengan selesa dan segala macam kesempurnaan di sekeliling kita?Apakah para pemimpin kita sebenarnya sanggup mengenepikan kepentingan peribadi untuk menerima segala kritikan membina ini dengan hati yang terbuka demi membangunkan sebuah negara yang tercinta? Kalaupun ada cadangan janganlah hendaknya lebih ke arah menindas rakyat demi mencari populariti untuk menjadi jaguh dalam pemerintahan negara tercinta ini yang akhirnya dikritik dan dibenci oleh rakyat jelata. 50 tahun suatu tempoh masa yang begitu matang bagi seseorang memikirkan buruk baiknya sesebuah pemerintah yang sepatutnya setiap anggota pemerintah itu harus mengambil tindakan selari dengan dasar pemerintah bukannya membuat terjemahan sendiri kepada dasar-dasar negara yang ternyata indah dan tersusun rapi itu demi memuaskan hati.




















Marilah rakan-rakan yang cintakan kedamaian dan keamanan berfikir sejenak untuk kita sumbangkan fikiran kita ke arah pencapaian yang kita idam-idamkan demi sebuah negara yang tercinta ini. Kita memerlukan para pemimpin yang bijak mentadbir negara yang menjadi kebanggaan kita tetapi pada masa yang sama janganlah hendaknya kebijaksanaan yang dimiliki oleh para pemerintah ini hanya untuk mencari keuntungan peribadi dengan berselindung di balik kepentingan negara kononnya. Sewaktu negara sedang mengecapi kemakmuran dan keamanan serta keselesaan, rakyat yang di kalangan klas bawahan dan pertengahan ini hendaklah diberi sedikit keselesaan seperti yang diamalkan oleh pemerintah yang sedia ada. Janganlah hendaknya ketika negara rancak membangun dengan tahap pencapaian pembangunan dan ekonomi yang baik ada usaha untuk menjadikan rakyat jelata di klas bawahan dan pertengahan ini seperti hamba abdi dan terpaksa bersaing sehinggakan menimbulkan tekanan yang tidak mampu dipikul oleh golongan ini. Ya bersaing itu memang baik jika dilaku dan diurus serta ditadbirkan dengan rasa tanggungjawab dan beratika tetapi janganlah kerana saingan yang terlampau ini akan akhirnya merosakkan institusi kekeluargaan dan setia kawan yang sedia terjalin. Semoga semangat sebegini akan dapat menjadikan semua lapaisan rakyat merasakan cinta kepada negara ini dan sanggup berkorban senang dan susah bersama para pemerintah yang tercinta.

Banyak telah kita saksikan semakin lama sesebuah negara itu mengecap nikmat kemerdekaan semakin sukar jalan untuk mencari dan membina kehidupan bagi golongan klas bawahan dan pertengahan ini untuk merasakan nikmat sebenar erti kemerdekaan itu. Apakah harga untuk mendapatkan sedikit keselesaan itu harus dibayar dengan tumpahan darah di bumi yang bertuah ini baru kita ingin mengkaji dan mencari jalan untuk membetulkan keadaan yang sememangnya hanya memihak kepada orang-orang yang pandai dan bijak sahaja? kita dilahirkan di dunia ini dengan pelbagai tahap kelebihan dan kekurangan dan janganlah hendaknya ada usaha untuk menjadikan golongan yang dianggap lemah ini seperti barang buangan untuk memuaskan nabsu sendiri. Ada ura-ura oleh pihak pegawai tertinggi pemerintah negara baru-baru ini untuk memberi VSS atau dalam bahasa mudahnya meletakkan jawatan secara sukarela kepada kakitangan awam. Apakah sudah dikaji keseluruhan impak dan kesannya terlebih dahulu sebelum sesuatu cadangan itu diumumkan? Baik atau tidak sesuatu cadangan atau pandangan itu terlalu awal dan subjektif untuk diperkatakan tetapi apakah dengan tindakan mengumumkan sesuatu cadangan itu tanpa dibuat kajian baik buruknya terlebih dahulu di segi perundangan baik dijadikan amalan kita lebih-lebih lagi kalau ianya datang dari para pentadbir tertinggi dalam Kerajaan? Banyak sudah contoh yang kita saksikan beberapa keputusan yang telah diambil akhirnya akan merugikan negara serta pemerintah. Kesilapan ini lazimnya harus dibayar dengan kos yang terlalu tinggi dan rakyat diminta berkorban tidak secara langsung dengan menanggung kos sara hidup yang tinggi untuk menampung bayaran kos yang sepatutnya tidak perlu dan boleh diagih-agihkan kepada rakyat atau pembangunan negara yang lain. Jadi, hendaknya beberapa keputusan yang tersilap ini janganlah kita jadikan barangan mainan untuk menguji tahap kesabaran dan ketaatan rakyat jelata. marilah kita fikir-fikirkan agar apa jua tindakan yang hendak dilakukan dihormati dan diterima baik oleh setiap lapisan rakyat jelata yang inginkan sesuatu tindakan berlandaskan konsep "menang menang" dan tidak ada mana-mana pihak yang akan teriniaya kerananya.

Terima kasih

Tuhan! Hadiahkanlah kasihmu kepadaku
Tuhan! Kurniakanlah rinduku kepadamu
Moga ku tahu syukur pun adalah milikmu

` Yaa Allah! Aku memohon cintamu dan cinta orang yang menyintaimu dan semua amalan yang akan mendekatkan aku dengan cintamu ‘

Bila kita mencintai yang lain,Mungkinkah hati ini akan tegar Sebisa mungkin tak akan pernah sayangku akan hilang.... padamu Yaa-ALLAH Rabbul Jalil.