Thursday, August 16, 2007

Dilema Penjual Tisu OKU Penglihatan

Dalam masa kita rancak menghias kota dan desa serta bangunan dan rumah kediaman dengan kibaran bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke 50 negara Malaysia yang tercinta ini, ramai pula yang cuba tercari-cari idea untuk di ketengahkan bertujuan untuk membersihkan kota raya dan Negara kita supaya menjaga pandangan-pandangan para pengunjung di Negara kita yang berbelanja tidak seberapa dengan tidak langsung mengambilkira nasib penduduk setempat khususnya golongan Orang Kurang Upaya. Ini termasuklah dengan membuat tangkapan demi tankapan atas nama operasi sesebuah agensi kononnya untuk membersihkan kota raya ini dari pemandangan yang boleh menjejaskan imej Negara walaupun aktiviti-aktiviti yang dijalankan jelas untuk mencari sesuap nasi dan bukannya melakukan hal-hal yang menyalahi undang-undang. Golongan yang lazimnya menjadi mangsa adalah terdiri dari golongan Orang Kurang Upaya Penglihatan yang menjual tisu di tempat-tempat awam dengan alas an aktiviti golongan ini akan menjejaskan pemandangan indah dan imej Negara ini. Maka ramailah petugas-petugas di beberapa agensi ini mendapat habuan dengan membuat tuntutan kerja-kerja lebih masa dengan barang bukti mereka yang terdiri dari golongan OKU Penglihatan yang menjual tisu ini sedangkan ramai lagi di luar sana yang menjual VCD cetak rompak, DVD haram masih rancak mengaut untung hasil lelah orang lain dibiarkan terus beroperasi.

Di manakah perginya pemimpin-pemimpin pertubuhan-pertubuhan yang kononnya membela nasib golongan OKU Penglihatan ini? Saya amat bersetuju dengan pandangan beberapa individu yang menyuarakan rasa terkilannya terhadap sikap para pemimpin badan-badan yang mewakili kita golongan OKU Penglihatan yang membatukan diri terhadap isu penjual tisu ini. Sepatutnya inilah masa yang paling sesuai untuk mereka menunjukkan sikap kepimpinan mereka terhadap nasib golongan kita yang menjual tisu ini. Kalaupun benar ada akta itu dan akta ini dan meminta rakan-rakan kita memberhentikan aktiviti menjual tisu ini, apakah ada alternatif lain yang boleh dicadangkan oleh pihak-pihak berkuasa untuk membolehkan rakan-rakan kita ini memperolehi pendapatan lain bagi membolehkan mereka terus dapat menyara diri dan keluarga? ini yang seharusnya disuarakan oleh para pemimpin dari MAB, SBM atau NCBM yang patut disalurkan kepada Pihak-pihak Berkuasa untuk mendapat sedikit ehsan mereka terhadap golongan penjual tisu ini. Buat apalah kita mempunyai banyak pertubuhan kalau hanya ingin menjaja nama orang kurang upaya penglihatan untuk mendapatkan simpati masyarakat menyalurkan sumbangan tetapi akhirnya sumbangan itu digunakan untuk membesarkan temolok sendiri sahaja. Ya saya tahu memang ada aktiviti-aktiviti yang bercorak konvensional yang masih dijalankan oleh badan-badan yang mewakili OKU penglihatan ini sejak dulu hinggalah sekarang tetapi tak kan lah soal nasib rakan-rakan kita yang menjual tisu untuk mencari nafkah tidak langsung diberi perhatian oleh pertubuhan-pertubuhan kita yang sedia ada sebagai suatu tindakan ke arah membela ahli-ahli yang di dalam kepayahan sebagai tanggungjawab social pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada? Apakah megah sangat menjadi pemimpin kepada pertubuhan orang kurang upaya penglihatan hinggakan terus terlena dan kalau ada tindakan pun ianya dilihat seperti melepas batuk ditangga sahaja?

Mengenai dakwaan kononnya ada dalang yang mengambil kesempatan di sebalik golongan yang menjual tisu ini, pada saya ini adalah merupakan satu tektik basi dan lapuk yang biasa digunakan untuk menutup tindakan mereka dari mendapat reaksi negatif dari anggota masyarakat yang bersimpati dengan keadaan yang berlaku sekarang di kalangan OKU penglihatan. Jadi senjata "dalang di sebalik sesuatu aktiviti ini" akan digunakan dan dengan tidak secara langsung mereka bolehlah menjalankan aktiviti menangkap penjual-penjual tisu ini di waktu malam sebagai bukti yang petugas-petugas ini menjalankan tugas untuk membuat tuntutan kerja lebih masa. Saya secara peribadi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Harian Metro yang telah mengambil inisiatif mengeluarkan rintihan golongan penjual tisu ini dalam ruangan setempat dengan mengenepikan soal-soal komersial sebagai tanggungjawab social mereka. Apakah kurang orang yang perlu ditangkap di Kuala Lumpur ini untuk membersihkan nama dan keadaan Kota Raya yang bertuah ini? Ramai kutu rayau dan penagih dadah bersidai di sana sini yang bagaikan mengancam keselamatan kita serta pendatang haram yang melakukan pelbagai aktiviti keji kenapa tidak ditangkap? apakah kerana golongan OKU Penglihatan ini tidak boleh berbuat apa-apa sebagai tindakbalas memudahkan mereka menjalankan tugas kononnya? Bukanlah niat saya memperkecil-kecilkan tugasan golongan dari Agensi Kerajaan ini tetapi tidakkah mereka boleh berfikir yang penjual tisu ini juga serupa dengan agen-agen yang lazimnya datang ke pejabat kita mencari kontrak dan menjual itu dan ini dengan mempromosikan barangan mereka ini dari satu pejabat ke satu pejabat? Janganlah hendaknya bila kita disajikan dengan reski yang berlimpah ruah maka kita terlupa yang tuhan sedang menguji kita sebagai hambaNya untuk berkongsi sedikit reski yang kita perolehi dengan orang lain? apakah susah sangat apabila dikunjungi oleh para penjual tisu ini dengan hanya berkata "terima kasihlah lain kali saja"? Janganlah hendaknya dalam kita ghairah menghias Negara kita untuk sambutan kemerdekaan Negara kita yang ke 50 tahun ini di kacamata pengunjung luar menjadikan rakyat sendiri seperti “kera di hutan disusukan anak di rumah mati tak makan”.

Kalaulah golongan OKU Penglihatan ini diberi gerai sekalipun, apakah jenis perniagaan yang boleh dilakukan? berlainan halnya dengan kategori OKU anggota mereka masih boleh menjalankan perniagaan seperti menjual barangan makanan ringan di hentian bas dan di tempat-tempat awam tetapi apakah sesuai bagi OKU penglihatan untuk menjalankan kerja-kerja seumpama ini? apa yang dikhuatiri ialah barangannya habis tetapi modalnya tak dapat sebab habis dikebas penyangak yang tak bertimbangrasa. Saya suka mencadangkan bahawa untuk jalan jangka pendek, jika benar-benar ada pihak-pihak yang benar-benar ingin membantu, berikan beberapa peratus gerai atau lot-lot perniagaan yang dikeluarkan oleh Majlis-majlis Tempatan Kerajaan atau Pihak Berkuasa Bandaran di peringkat Negeri atau Persekutuan untuk orang awam kepada golongan OKU penglihatan ini dan seterusnya biarkan peruntukan gerai dan lot perniagaan ini sama ada disewakan semula oleh golongan OKU penglihatan ini sebagai sumber pendapatan atau mereka pun boleh bekerja dengan para penyewa ini jika lokasi yang diberi kepada mereka merupakan lokasi yang strategik. Ini bukan sahaja dapat membantu golongan OKU penglihatan yang kian hari kian ramai menyandang gelaran penganggur ia juga akan dapat membantu pihak berkuasa untuk mengurangkan peratusan penganggur di kalangan OKU penglihatan.

Saya memohon maaf seandainya saya yang tersentuh bagaikan paha kanan yang dicubit paha kiri yang terasa ini menyinggung mana-mana pihak tetapi percayalah kami golongan OKU Penglihatan bukanlah golongan yang suka sangat meminta minta tetapi demi "survival" suka atau tidak kami terpaksa lakukan demi kesinambungan dan kelangsungan kehidupan di muka bumi milik Allah ini jua. Berikan cadangan yang membina insyaallah kami akan sentiasa berterima kasih kerananya sekiranya ianya benar-benar dilakukan atas nama kemanusiaan bukan terus menghambakan sesama kita. Biarlah kita menjadi hamba tetapi hamba yang merdeka di bumi bertuah yang sama-sama kita kasihi dan cintai ini.


Sebelum saya akhiri nikilan sayu ini, izinkan saya merakamkan apa yang terdetik di hati saya:-

Inilah nasib kaum ninoriti yang tak berdaya
sentiasa diperhambat ikut suka mereka
Lapar kenyang kita bukan masalah mereka
kita yang dalam kepayahan bagaikan meminta hak mereka

Bagaikan jahiliah memerintah negara
tiada lagi timbangrasa sesama manusia
untuk mendapat sesuap nasi mengalas perut cuma.
di dalam kandang besi sebagai ganjarannya

Apalah malang anak yang masih menyusu
merintih menangis menanti si ibu
Laungan si anak tak siapa yang ambil tahu
apa yang mereka peduli itu bukan anak aku

Nampaknya kita bagaikan serumpun dan serjiran
membilang tahun kemerdekaan dengan kepayahan
apakah tiada lagi kepercayaan kepada Tuhan
mereka yang lemah dan tak berdaya sering diabaikan

Senyum di wajah rupanya derita yang diterjemah
Ada rakan bagaikan sokong membawa rebah
apakah kita lebih teruk dari penagih dadah
dalam kandang besi kita mendapat padah

Agaknya kita masih kecil bilangannya
belum ada rakan di kalangan pemimpin negara yang buta
baru agaknya nasib kita akan terbela
baru ngauman suara kita hinga ke pelusuk nusantara

Biarlah saya yang kerdil ini memanjatkan doa
agar nasib rakan-rakan akhirnya akan terbela
negara sendiri kita sayang dan cinta
semoga kita dihindarkan segala bala bahaya

Terima kasih

Sila hubungi saya di skype matnoy atau abang_andak

Tuhan! Hadiahkanlah kasihmu kepadaku
Tuhan! Kurniakanlah rinduku kepadamu
Moga ku tahu syukur pun adalah milikmu

` Yaa Allah! Aku memohon cintamu dan cinta orang yang menyintaimu dan semua
amalan yang akan mendekatkan aku dengan cintamu '

Bila kita mencintai yang lain,Mungkinkah hati ini akan tegar Sebisa
mungkin tak akan pernah sayangku akan hilang.... padamu Yaa-ALLAH
Rabbul Jalil.

No comments: